KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung Isnin ini dijangka memberi tumpuan utama kepada penyelesaian konflik berpanjangan di Myanmar.
Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 serta pendirian lantang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap isu kemanusiaan dijangka membuka lembaran baharu dalam pendekatan diplomasi serantau.
Jelasnya, Malaysia mempunyai rekod baik dalam memperjuangkan isu kemanusiaan dan kini adalah masanya untuk ASEAN kembali memainkan peranan signifikan sebagai platform penyelesaian konflik serantau.
“Malaysia sebagai pengerusi ASEAN terkenal dengan sebuah negara yang mengamalkan isu-isu berhubung dengan mengelakkan penindasan isu-isu kemanusiaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga lantang untuk bersuara tentang isu-isu ke mata dunia.
“Inilah langkah untuk memastikan sidang kemuncak ASEAN ke-46 dapat menyelesaikan masalah ini dan dapat menghasilkan isu-isu berhubung dengan perkara-perkara khususnya berkaitan dengan pelan lima konsesni yang telah dimeterai dan telah dipersetujui di Jakarta pada 2021,” katanya.
Konsensus Lima Perkara itu perlu terus diperhalusi dan dilaksanakan secara efektif, termasuk gencatan senjata, penghantaran bantuan kemanusiaan serta lawatan berkala utusan ASEAN ke Myanmar.
Beliau berkata, pendekatan diplomasi luar biasa perlu diketengahkan dalam menyelesaikan isu ini meskipun ASEAN berpegang kepada prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara anggota.
Jelasnya, kepimpinan Malaysia diyakini mampu memangkinkan penyelesaian terhadap isu Myanmar menerusi pendekatan yang progresif dan inklusif.
Menurut beliau, pelanjutan gencatan senjata hingga 31 Mei ini merupakan antara langkah positif, namun usaha lebih besar diperlukan bagi menghentikan penindasan terhadap hak asasi manusia di negara tersebut.
Katanya, komitmen yang selari dengan ASEAN Political-Security Community akan memastikan rantau ini terus aman, stabil dan sejahtera melalui jaringan kerjasama erat antara negara anggota.
Kredit: https://www.buletintv3.my/nasional/sidang-kemuncak-asean-isu-myanmar-dijangka-jadi-tumpuan-utama/