Mekanisme Audit Kenegaraan Perlu Diwujudkan Ukur Tahap Kefahaman Identiti Negara

Noor Nirwandy (gambar kecil) menyarankan supaya tumpuan lebih diberikan kepada golongan muda memandangkan mereka terdedah kepada ledakan teknologi hingga 'hilang arah' untuk membezakan fakta dan bukan fakta. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Satu mekanisme audit kenegaraan perlu diperkenalkan bagi mengenal pasti tahap kefahaman individu dan institusi di negara ini terhadap nilai asas dan identiti negara berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata audit kenegaraan itu perlu dilaksanakan secara berkala bagi memperkukuh kefahaman individu dan institusi sekali gus mengelak insiden paparan Jalur Gemilang tidak lengkap seperti sebelum ini.

“Algoritma (audit kenegaraan) identiti negara harus dimangkinkan dalam semua platform media sosial oleh agensi kerajaan, swasta dan rakyat Malaysia untuk mengembalikan silibus pembelajaran tidak formal mendidik serta mengambil tanggungjawab membina pemahaman identiti negara yang sebenarnya.

“Ini sesuai dengan saranan Yang di-Pertuan Agong supaya isu ini diberi perhatian agar ia tidak berulang dan audit kenegaraan ini dapat membantu ke arah tersebut kerana ia antara punca permasalahan yang menjejaskan keharmonian negara,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka dengan tindakan sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina berhubung insiden Jalur Gemilang tidak lengkap dengan bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar terlibat seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Noor Nirwandy juga menyarankan supaya tumpuan lebih diberikan kepada golongan muda untuk pengauditan kenegaraan itu memandangkan mereka ini terdedah kepada ledakan teknologi termasuk media sosial hingga ‘hilang arah’ untuk membezakan fakta dan bukan fakta.

Beliau berkata sekiranya audit kenegaraan dilakukan terhadap semua pihak secara berterusan termasuk berkaitan kefahaman mengenai makna di sebalik Jalur Gemilang, ia akan membentuk satu budaya baharu dalam memupuk semangat jati diri dan patriotisme.

“Bendera Malaysia bukan hanya simbol negara tapi adalah lambang jati diri dan kehormatan maruah rakyat dan negara yang dinaungi oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Nirwandy berkata kesilapan menggunakan dan mengibarkan Jalur Gemilang tidak harus berlaku dalam apa jua keadaan kerana ia adalah refleksi jati diri rakyat dan lambang penghormatan semua institusi mahupun individu dalam negara ini.

Malah Noor Nirwandy mencadangkan supaya undang-undang kenegaraan digubal bagi melindungi identiti negara daripada sebarang perbuatan yang boleh mencemarkannya.

Selain itu, Noor Nirwandy turut menegaskan bahawa Jalur Gemilang adalah identiti nasional, asas keselamatan negara dan amat penting untuk semua rakyat Malaysia dan mereka yang menjadikan Malaysia sebagai tempat berurus niaga supaya memahami, menjiwai dan menghayati identiti negara itu.

Pada 15 April lepas, Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapan akhbar terbitannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, namun Jalur Gemilang yang dipaparkan didapati tidak lengkap.

Insiden itu mencetuskan kritikan pelbagai pihak termasuk Sultan Ibrahim dan susulan kejadian itu, akhbar berkenaan telah memohon maaf dan menjelaskan bahawa kesilapan berkenaan berpunca daripada masalah teknikal yang tidak disengajakan.

Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 16 April, telah meminta pihak Kwong Wah Yit Poh untuk memberikan penjelasan berhubung satu hantaran di akaun Facebook mereka yang memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.

Selang beberapa hari kemudian, tular satu lagi kes Jalur Gemilang tanpa bulan sabit dilakukan di satu daripada tapak pempamer yang mengambil bahagian dalam ekspo jualan barangan bayi di ibu negara.

— BERNAMA

kredit: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/mekanisme-audit-kenegaraan-perlu-diwujudkan-ukur-tahap-kefahaman-identiti-negara-517639

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan