Bencana banjir berlaku menggemparkan negara. Fitrah kejadian alam, termasuk bencana seperti banjir memang tidak dapat dielakkan dan sudah tentu ada hikmahnya.
Namun, secara realiti, krisis bencana banjir kali ini memperlihatkan berlaku beberapa kelemahan dalam pengurusan bencana banjir negara. Ia harus diakui secara terbuka dan semua pihak perlu berhenti menuding jari serta mengakui kelemahan yang wujud dalam pengurusan krisis bencana banjir negara.
Pengakuan kelemahan serta kekurangan akan mengundang keterbukaan dalam usaha penambahbaikan pengurusan bencana banjir negara pada masa hadapan.
Kematian dicatatkan kesan kejadian bencana banjir negara. Situasi banjir di Shah Alam khususnya mengundang pelbagai persoalan terhadap kemampuan pengurusan banjir negara, terutama di kawasan luar jangka bencana.
Justeru, apakah langkah boleh dicadangkan sebagai penambahbaikan pengurusan krisis bencana banjir negara?
Rakyat Malaysia memang terkenal dengan kemurahan dan dedikasi dalam membantu sesama kita, terutama dalam apa jua situasi bencana negara. Semangat kolektif ‘Kita Jaga Kita’ serta nasionalisme dalam situasi berkaitan tidak dinafikan.
Namun, dalam situasi krisis seperti bencana banjir negara, respons awal pada fasa 12 jam pertama amat kritikal dalam menyelamat serta meminimumkan ancaman keselamatan dan nyawa manusia.
Sistem amaran awal amat penting dalam pengurusan bencana banjir negara. Sistem amaran awal secara tradisional dan digital harus diperincikan segera. Sebagai contoh, setiap kawasan mempunyai masjid, surau serta rumah ibadah lengkap dengan pembesar suara.
Antara cara paling mudah adalah memperkenalkan sistem amaran awal dengan kaedah pengumuman seperti menggunakan bunyi siren tertentu. Siren itu boleh direkodkan secara sekata dan diberi kepada semua masjid, surau serta rumah ibadah.
Pengurusan masjid hanya perlu menekan butang automasi siren apabila diminta pengurusan banjir negara. Data anggota pengurusan masjid, surau serta rumah ibadah perlu diadakan di seluruh negara bagi mempermudahkan proses notifikasi awal dalam krisis bencana banjir negara.
Sistem amaran awal juga boleh dijalankan secara digital dengan kaedah pemberitahuan automatik kepada semua pengurusan masjid surau, pusat ibadah dan kepemimpinan mukim.
Kepemimpinan ketua kampung, perumahan dan daerah harus digerakkan menjadi aset negara. Mereka patut dijadikan barisan hadapan dalam pengurusan krisis bencana negara. Mereka perlu dibekalkan manual umum pengurusan krisis bencana seperti banjir secara lebih operatif.
Kursus serta taklimat berkala perlu diberikan kepada kelompok ini bagi menangani situasi bencana seperti kaedah pelaporan, termasuk menubuhkan unit sukarelawan asas.
Di kawasan krisis bencana banjir yang berlaku seperti Taman Sri Muda di Shah Alam contohnya, kelengkapan asas boleh dibekalkan seperti jaket keselamatan, siren serta peralatan asas lain yang praktikal.
Elemen perisikan asas keselamatan negara. Dalam situasi bencana maklumat awal seperti daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) adalah penting, tetapi elemen perisikan media sosial satu sumber dapatan makluman terkini yang cepat dan tepat.
Dalam bencana banjir, terdapat pelbagai aduan memohon simpati dan menyampaikan maklumat tepat mangsa yang memerlukan bantuan serta terperangkap yang kritikal untuk dianalisa segera.
Agensi keselamatan pengurusan bencana serta perisikan negara boleh mengadaptasi kaedah laporan perisikan media sosial secara setiap jam ketika kejadian bencana banjir, khususnya pada peringkat kritikal iaitu fasa awal dalam mendapatkan lokasi individu atau keadaan risiko kawasan tertentu dengan lebih pantas dan tepat hasil perkongsian awam di media sosial.
Syarikat kawalan keselamatan juga harus dilatih untuk membantu mangsa banjir kerana hampir semua pekerja syarikat keselamatan negara mempunyai asas menangani situasi ancaman keselamatan.
Syarikat penjualan kereta pula disaran mula membekalkan jaket keselamatan dan peralatan asas menghadapi bencana banjir sebagai tarikan pembelian kereta baharu. Malah, syarikat perumahan juga perlu mewujudkan ruangan serta membekalkan pelampung dan penyangkut tali keselamatan di lokasi strategik sekitar rumah.
Inovasi rekaan seperti mewujudkan struktur kukuh dan stabil untuk berkumpul di atas bumbung juga boleh dicadangkan sebagai antara asas pembinaan rumah mesra bencana.
Kedudukan stesen minyak awam yang banyak dan strategik boleh digunakan sepenuhnya. Semangat tanggungjawab korporat boleh dimangkinkan agar semua stesen minyak di seluruh negara, terutama di kawasan strategik mempunyai depoh mini untuk simpanan bencana mini meletakkan peralatan kecemasan menghadapi situasi banjir seperti jaket keselamatan, pelampung, tali keselamatan serta bot penyelamat berskala sederhana, bagi membantu proses pengurusan bencana negara.
Kerjasama strategik sebegini penting untuk membentuk usaha kolektif pengurusan bencana banjir negara.
Agensi keselamatan negara boleh memperluaskan jaringan kerjasama strategik dengan pengeluar makanan dengan teknologi retort (kaedah pembungkusan dengan pemprosesan aseptik diperbuat daripada pelbagai lapisan berlamina fleksibel) bagi produk industri kecil sederhana, selain mewujudkan depoh penyimpanan strategik serta pelan pengagihan makanan pada mangsa terperangkap dalam banjir ketika tempoh awal bencana banjir.
Teknologi ini membantu, terutama pada fasa awal bagi yang terperangkap dalam banjir sebelum dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Pengurusan bencana tanggungjawab bersama, namun koordinasi dan kepemimpinan pengurusan bencana, termasuk pada setiap peringkat penting bagi melaksanakan elemen operatif dan bukan sekadar di atas kertas manual pengoperasian standard.
Usaha membentuk minda keselamatan boleh dipopularkan dengan penekanan konsep keselamatan menyeluruh seperti digariskan dalam Dasar Keselamatan Negara yang diwujudkan Majlis Keselamatan Negara.
Konsep keselamatan menyeluruh hanya akan berjaya dengan kemampuan semua pihak mempunyai asas minda keselamatan khususnya dalam pengurusan krisis banjir negara.
Inovasi praktikal dan lebih operatif secara menyeluruh perlu diilhamkan tanpa memandang rendah kemampuan rakyat Malaysia dalam membentuk sokongan asas keselamatan negara yang sentiasa bersedia bagi membantu sesama kita dalam menangani apa juga krisis bencana negara.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
artikel asal: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2021/12/902817/konsep-keselamatan-menyeluruh-bantu-atasi-bencana-lebih-pantas