Fahami Perlembagaan, Rukun Negara Resipi Rakyat Matang Hadapi Cabaran Semasa

Wawancara | Kefahaman yang jelas dan jitu terhadap identiti negara yang dibentuk oleh Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara akan menjadikan rakyat negara ini memiliki daya tahan yang kuat bagi menghadapi sebarang cabaran, termasuk melibatkan aspek 3R (agama, raja-raja dan perkauman).

Menurut Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, dengan kefahaman yang betul beliau yakin masyarakat di negara akan bersatu mendukung identiti negara sehingga semua pihak dapat hidup dalam harmoni.

Katanya negara sudah ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF) untuk tatacara guna media dengan baik.

Pun begitu, katanya, masyarakat harus memahami identiti negara yang sebenar dan ia mestilah berlandaskan kepada pemahaman terhadap Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara.

“Sangat penting untuk kita berbalik kepada asas identiti negara sebagai teras utama penyelesaian dan dengan berpandukan prinsip ini, kita mampu membentuk benteng kukuh bagi menghadapi taktik perang saraf dan psikologi pihak berkepentingan, seterusnya memastikan kedaulatan negara terpelihara dan kesejahteraan masyarakat terus terjamin.

“Peradaban tatakelola inilah yang perlu kita hayati untuk mendepani kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau apa jua inovasi teknologi.

“Justeru, kita tidak boleh mengubah atau menafikan prinsip-prinsip sedia ada dengan membina keseimbangan baru yang akhirnya meruntuhkan nilai moral, mendorong unsur radikal dan subversif, serta mengganggu perpaduan dan keharmonian negara,” katanya.

Noor Nirwandy yang juga Pensyarah Kanan UiTM menjelaskan, masyarakat tidak boleh bertindak di luar batasan undang-undang kerana semua orang diikat oleh perlembagaan.

Katanya ‘keseimbangan baharu’ mula wujud apabila ada sesetengah pihak cuba mewujudkan tanggapan bahawa kebebasan bersuara adalah hak mutlak semua orang dan bersifat tanpa had.

Sedangkan, katanya, ada antara isu atau idea yang dibawa itu sebenarnya tidak sesuai.

“Harus diingat bahawa proses penggubalan undang-undang dalam negara ini terikat dengan Perlembagaan Persekutuan. Setiap undang-undang perlu melalui proses legislatif di parlimen dan seterusnya melalui sistem kehakiman negara mengikut prosedur undang-undang yang ditetapkan.

“Jadi, kenapa kita ingin mencabar undang-undang atau lakukan sesuatu membelakangi undang-undang seolah-olah kita ada hak istimewa sedangkan semuanya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Susulan itu, Noor Nirwandy mencadangkan agar MCMC membangunkan algoritma anti-3R untuk pengawalan dan perlindungan kandungan digital sekali gus memastikan nilai perpaduan dan keharmonian negara terus terpelihara.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan harus bersikap adil kerana isu 3R dilihat tidak relevan di luar negara namun masih harus dikekang dalam konteks domestik negara.

“Langkah pengawalan automatik ini bertujuan menyekat, menyah akses dan mencegah perbincangan 3R yang keterlaluan berdasarkan nasihat MCMC, selaras dengan perundangan sedia ada.

“Inilah bentuk keadilan yang kita mahukan agar penyedia perkhidmatan Internet dan media sosial mematuhi regulasi yang tidak bertentangan dengan hak asasi manusia serta selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Mereka boleh dikenakan tindakan sama ada lesen ditarik atau disekat secara automatik sekiranya membenarkan penyebaran kandungan 3R.

“Ini satu perubahan dalam teknologi apabila pembekal perkhidmatan media sosial harus bertanggungjawab untuk memastikan mereka akur dengan regulasi tempatan,” katanya.

kredit: https://www.malaysiakini.com/announcement/740647

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan