Wawancara | Sehubungan pelancaran dan penganjuran ASEAN ke-46 pada hari ini, Deklarasi Kuala Lumpur 2025 yang akan dilancarkan ketika sidang serantau itu berlangsung menjadi tumpuan yang menggariskan signifikan kongres antarabangsa tersebut.
Pernah dimeterai pada 1971, Deklarasi Kuala Lumpur yang akan ditandatangani tahun ini tertumpu kepada tadbir urus, pembangunan digital dan keselamatan yang sejajar dengan tema ASEAN 2025, iaitu memperkukuh daya tahan komuniti, kelestarian ekonomi dan kesiapsiagaan masa depan.
Menurut Penganalisis Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, Deklarasi Kuala Lumpur ini akan memberi ASEAN sebuah imej baru sebagai satu kuasa baru, menuju ke arah mercu tanda yang lebih baik.
“ASEAN adalah salah satu kuasa baru di dalam dunia dan Malaysia sebagai negara kuasa pertengahan mampu membawa dan mengetuai ASEAN, membuktikan satu bentuk jalinan yang baik.
“Dengan peluang ini, Malaysia harus membawa ASEAN mempelopori ataupun mendominasi sektor-sektor berkepentingan di dalam dunia khususnya berkaitan dengan digitalisasi, isu ekonomi dan isu keselamatan,” katanya.

Menurutnya, antara sektor atau isu berkepentingan kepada negara anggota ASEAN yang patut diberi tumpuan pada masa kini adalah sektor digital misalnya isu kawal selia media sosial dan penambahbaikan komunikasi keselamatan.
Nirwandy berkata, Deklarasi Kuala Lumpur 2025 itu menekankan aspek garis panduan media sosial global yang merangkumi dasar-dasar keselamatan media, khususnya platform media sosial.
Beliau menjelaskan bahawa Malaysia kaya dengan contoh-contoh bentuk kawal selia platform media sosial bagi membendung mesej atau berita yang tidak sahih seperti Chatbot Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) yang dilancarkan pada 28 Januari lalu.
ADS
“Perkara-perkara ini boleh dikongsikan dengan ASEAN, kerana ia akan memberikan satu bentuk elemen yang baik dan boleh mengumpulkan kesepakatan yang berkepentingan digital.
“Juga penting untuk kita memastikan ASEAN memahami bagaimanakah struktur-struktur kawal selia media sosial ini dari segi pendigitalan berbanding penguatkuasaan undang-undang semata-mata,” kata Nirwandy dalam satu temu ramah bersama Malaysiakini.

Tambahnya lagi, Malaysia boleh memperkenalkan pembentukan algoritma ASEAN yang akan memastikan pengguna media sosial dalam negara rantau itu sehaluan dan bersatu dalam melawan ekstremisme dan prasangka negatif samada dalam kalangan rakyat atau pemimpin.
Pensyarah Kanan itu juga berkata, inisiatif itu akan memperkukuh kedudukan dan suasana negara-negara ASEAN untuk kekal sebagai rantau yang selamat, stabil dan saling bekerjasama di mata dunia.
Penekanan ke atas keselamatan digital ini juga selari dengan keadaan dan konteks semasa di mana penduduk global dihubungkan menerusi gajet pintar di hujung jari, maka kawal selia keselamatan makin dititikberatkan.
Berbeza dengan Deklarasi Kuala Lumpur 1971 yang ditandatangani oleh Tun Abdul Razak Datuk Hussein, pembentukan Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) pada waktu itu tidak menggariskan isu berkaitan digitalisasi.

“Ketika berhadapan dengan tekanan ekonomi, keadaan politik yang tidak stabil dan ancaman-ancaman bentuk radikal yang akan datang hasil globalisasi media sosial, ASEAN harus mengemukakan polisi-polisi dan data-data baru.
“Deklarasi Kuala Lumpur ini mampu membina satu teras dasar-dasar baru, khususnya berhubung dengan elemen berkaitan media sosial untuk membangkitkan kesejahteraan dan persediaan ASEAN melalui kerjasama silang antara kerajaan negara serantau,” kata Nirwandy.
ADS
Nirwandy menjelaskan bahawa pembaharuan ini akan memperkukuh penubuhan ZOPFAN berdasarkan situasi semasa, bukan menggantikannya kerana ZOPFAN masih merangkumi deklarasi-deklarasi yang sebelumnya.
Pendekatan tertumpu ke arah digitalisasi ini, Nirwandy berkata, akan memberikan ASEAN sebagai badan yang mengamalkan prinsip tidak campur tangan, satu kekuatan dan dominasi baru terutamanya dalam aspek keselamatan tanpa melibatkan pihak luar.

“Daripada kekangan-kekangan ataupun tekanan-tekanan yang dialami oleh negara-negara ASEAN, ia harus mempunyai satu tunjang baru yang boleh membangunkan persahabatan antara ASEAN, dan Malaysia mempunyai kelebihan dalam perkara tersebut,” katanya.
Nirwandy turut berkata, inisiatif tersebut akan menganjakkan kemampuan ASEAN untuk berdiri sebaris dengan negara dan kuasa besar dalam rantau lain terutamanya dari segi sektor-sektor berkepentingan seperti teknologi, keselamatan dan pendigitalan.
Dasar-dasar baharu berkaitan digitalisasi yang dimeterai di dalam Deklarasi Kuala Lumpur 2025 juga akan membina identiti dan membantu ASEAN untuk berhadapan dengan krisis-krisis luar jangka misalnya pandemik COVID-19.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memainkan peranan penting dalam mengetuai agenda digitalisasi serantau itu bagi membina hubungan diplomasi yang baik dengan negara serantau.
Kredit: https://www.malaysiakini.com/announcement/744053