Penutupan Selat Hormuz Ancaman Besar Ekonomi Dunia

SEBUAH keluarga duduk berlatar belakangkan pelabuhan di luar bandar pantai Fujairah, di Selat Hormuz di utara UAE. FOTO AFP

Kuala Lumpur: Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang semakin memuncak ketika ini berpotensi menggugat kestabilan ekonomi global sekiranya konflik bertukar menjadi lebih serius. Penganalisis melihat impak awal mungkin terhad, namun risiko sebenar bergantung kepada sejauh mana ia menjejaskan laluan perdagangan strategik dunia.

Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan & Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ancaman paling membimbangkan ialah kemungkinan penutupan Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak global.

Katanya, sebarang gangguan di laluan itu akan memberi tekanan besar kepada harga minyak mentah dunia.

“Kenaikan mendadak harga komoditi berkenaan bukan saja menjejaskan negara pengimport tenaga, malah memberi kesan berantai kepada kos pengangkutan, logistik dan harga barangan pengguna.

“Selat berkenaan menjadi laluan utama eksport minyak dari negara Teluk seperti Arab Saudi, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu. Justeru, sebarang ketegangan ketenteraan di kawasan itu berisiko mencetuskan ketidaktentuan pasaran kewangan serta tekanan inflasi global,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Tentera Pertahanan Israel (IDF) dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan mengejut ke atas Iran 28 Februari lalu.

Susulan itu, Iran mensasarkan aset AS di beberapa negara Arab di Teluk sebagai tindak balas kepada serangan besar-besaran oleh AS dan Israel ke atas negara itu.

Mengulas kesiapsiagaan Malaysia, Noor Nirwandy menambah, kerajaan dijangka menilai pilihan alternatif termasuk mempelbagaikan rakan dagang dan sumber bekalan tenaga sekiranya konflik berpanjangan.

“Langkah itu penting bagi memastikan kestabilan dagangan eksport dan import negara terus terpelihara.

“Dalam masa sama, Malaysia perlu memainkan peranan diplomatik lebih aktif di pentas antarabangsa bagi menegaskan kepentingan penyelesaian damai,” katanya.

Katanya, pendekatan berkecuali dan konsisten dalam menyeru keamanan dilihat mampu mengurangkan ketegangan serta melindungi kepentingan ekonomi negara,” katanya.

Noor Nirwandy berkata, perkembangan terkini sebagai cabaran besar kepada sistem keselamatan global, khususnya peranan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mengekang tindakan unilateral kuasa besar.

“Keadaan itu memberi gambaran bahawa mekanisme sedia ada berdepan kekangan dalam memastikan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.

“Konflik berpanjangan boleh mencetuskan polarisasi antara blok kuasa besar dan negara lain, sekali gus menyemarakkan sentimen ideologi serta risiko radikalisasi di beberapa rantau,” katanya.

Katanya, negara membangun perlu menilai tahap kesiapsiagaan pertahanan masing-masing dalam menghadapi kemungkinan konflik luar jangka.

“Dalam dunia yang semakin kompleks dan tidak menentu, keseimbangan antara diplomasi, ekonomi dan keselamatan menjadi kunci bagi mengelakkan kesan lebih buruk kepada kestabilan serantau dan global,” katanya.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan