Kuala Lumpur: Kewujudan elemen ‘penawaran’ serta ‘permintaan’ dalam kalangan masyarakat menjadi antara faktor ajaran sesat terus hidup dan berkembang di negara ini meskipun pelbagai langkah diambil pihak berkuasa.
Pakar Perang Saraf serta Penganalisis Keselamatan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, keadaan itu menjadikan isu ajaran sesat sebagai ancaman berpanjangan yang memerlukan pendekatan lebih strategik, bukan sekadar tindakan penguatkuasaan semata-mata.
“Isu ajaran sesat bukan perkara baharu. Malah pelbagai tindakan baik sudah dilaksanakan oleh agensi keselamatan dan perisikan negara termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menangani ancaman ini.
“Namun, ajaran sesat akan terus wujud selagi terdapat permintaan dalam kalangan masyarakat yang mencari jalan mudah dalam beragama, sementara ada pula pihak yang menawarkan ‘penyelesaian segera’ melalui pendekatan menyimpang daripada akidah sebenar,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, faktor psikologi memainkan peranan besar apabila individu yang mempunyai ciri ‘cult personality’ mampu mempengaruhi golongan rentan, lalu memesongkan pemikiran mereka untuk menerima ajaran sesat sebagai satu kebenaran mutlak.
“Golongan ini lazimnya mencari kaedah mudah dalam ibadah, perjuangan, nafsu, harta dan juga isu akhir zaman. Mereka akhirnya memilih kumpulan yang dirasakan sesuai, walaupun hakikatnya menyimpang,” katanya.
Noor Nirwandy berkata, pengesanan awal, pemantauan rapi dan pendidikan berterusan adalah kunci utama bagi memastikan ajaran sesat tidak terus mencengkam masyarakat dan menggugat keselamatan negara.
Beliau berkata, pendekatan perang saraf strategik perlu diterapkan bagi membentuk pemikiran umat Islam supaya lebih kritikal, berdaya tahan dan tidak mudah dipengaruhi ideologi songsang termasuk memperkukuh ekonomi, struktur sosial serta perpaduan negara berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Katanya, selain tindakan perisikan dan penguatkuasaan, penambahbaikan akta seperti Akta 355 dan penggunaan undang-undang berkaitan keganasan termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu diperkasakan bagi memastikan kumpulan berisiko tinggi dapat ditangani lebih awal.
“Masyarakat turut digesa tidak terpengaruh dengan naratif perjuangan akhir zaman yang sering dijadikan umpan bagi menarik pengikut baharu. Sebagai umat Islam, kita perlu berpandukan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, undang-undang negara serta memahami konsep jihad dalam konteks lebih luas seperti jihad ekonomi, pendidikan dan pembangunan umat,” katanya.
Menurutnya, kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta pihak berkuasa amat penting untuk mengesan dan menyekat algoritma yang mempromosikan kandungan menyimpang daripada al-Quran, hadis dan sistem syariah negara.
“Kerjasama silang antara agensi keselamatan, perisikan dan JAKIM perlu diperkukuhkan bagi menghentikan serta meminimumkan kesan ajaran sesat terhadap rakyat.
“Bimbingan juga perlu diberikan kepada individu yang ingin mencari ‘jalan pulang’ dan mendekatkan diri kepada agama supaya tidak tersalah memilih jalan,” katanya.
Harian Metro melaporkan, JAKIM mendedahkan lapan ajaran dan fahaman sesat yang kini berada dalam pemantauan rapi pihak berkuasa dikesan mempunyai modus operandi pengembangan tersusun termasuk merekrut ahli baharu dan membuka penempatan berkonsepkan akhir zaman.
Selain itu, mereka turut menggunakan platform badan bukan kerajaan (NGO) dan perniagaan, memanfaatkan pelbagai medium media sosial serta mendorong penghijrahan ahli ke luar negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilaporkan berkata, ajaran atau fahaman sesat meragukan ini akan dinilai dan terus dipantau bersama Polis Diraja Malaysia serta agensi berkepentingan dari semasa ke semasa.
Kredit: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/01/1315526/kes-8-ajaran-sesat-kita-perlu-berpandukan-ajaran-ahli-sunnah-wal-jamaah











