JOHOR BAHRU: Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai satu naratif yang berupaya menjadi kunci membawa kepada kestabilan ekonomi dan politik di negeri ini.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis, berkata Ikhtiar BN Johor itu mencakupi semua aspek dan bukan sahaja disifatkan ‘boleh dijual’ bagi menarik pengundi, malah pengisiannya diyakini sukar dicabar parti pembangkang.
“Selepas negara amnya dan di Johor sendiri berdepan ketidakstabilan ekonomi dan ketidaktentuan politik, tawaran dibuat BN ini mampu menjadi naratif yang kuat dalam membawa kestabilan semula dalam dua aspek itu.
“Apabila dua perkara ini difokuskan dan berjaya dicapai nanti, ia akan membawa Johor kepada kuasa utama ekonomi dalam negara,” katanya.
Kelmarin, BN melancarkan Ikhtiar BN Johor bagi PRN Johor bertemakan Kestabilan Masa Depan, yang menggariskan lima teras utama.

Teras terbabit ialah kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, ikhtiar khusus untuk Orang Muda Johor (OMJ), ikhtiar untuk membudayakan pentadbiran berintegriti dan ikhtiar untuk melaksanakan reformasi politik.
Mujibu berkata, lima teras utama yang ditekankan itu penting dalam memastikan BN terus kekal relevan, khususnya dalam generasi muda yang kini boleh memainkan peranan melalui Undi18.
“Perubahan ini diperlukan khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang melihatkan perubahan generasi terhadap bersifat universal berbanding kerangka lama,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata Ikhtiar BN dilihat menyasarkan peralihan rakyat Johor pada satu manifesto yang bersifat sektoral dengan menumpukan kepada pembangunan menyeluruh secara bersasar.
Beliau berkata, kemampuan pemulihan ekonomi, pengiktirafan anak muda serta kepentingan aspek dakwah dan syiar Islam boleh dilihat sebagai tarikan utama bagi memastikan majoriti penduduk Melayu Islam di negeri Johor menyokong BN.
“Namun BN perlu memastikan pelaksanaan pelan integriti termasuk pengisyhtiharan harta dilaksanakan dengan penuh komitmen sekiranya dipilih untuk membentuk kerajaan negeri nanti,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata Ikhtiar BN yang memberi fokus utama kepada ekonomi adalah penting untuk membantu rakyat Johor yang disifatkan masih ramai memerlukan bantuan.

Beliau berkata, pelaksanaan Ikhtiar BN sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri berupaya membawa Johor kembali menjadi antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Fokus ekonomi kekal menjadi tumpuan utama kerana walaupun negara dalam proses pemulihan ekonomi, jika dilihat dari peringkat individu, isi rumah dan perniagaan mikro, kecil dan sederhana, masih ramai lagi terutamanya rakyat Johor yang amat memerlukan bantuan terutamanya dari kerajaan negeri.
“Oleh itu strategi Ikhtiar BN yang mengkhususkan jenis dan bentuk bantuan adalah penting kerana bukan semua individu dan peniaga mempunyai masalah yang sama.
“Sebagai contoh, mereka yang tinggal di Johor Bahru (JB) akan mengalami situasi tidak dapat bekerja di Singapura akibat sekatan perjalanan dan pada masa yang sama kos sara hidup di bandar JB adalah tinggi di samping harga rumah di luar kemampuan rakyat biasa.
“Sementara di daerah lain lebih kepada peluang pekerjaan yang menjanjikan gaji lebih tinggi,” katanya.
Bagi penganalisis ekonomi dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Lutfan Jaes, pula berkata Ikhtiar BN disifatkan mempunyai pendekatan holistik dengan mengambil kira setiap ruang, peluang dan semua ahli dalam Bangsa Johor.
Beliau berkata, Ikhtiar BN juga menampilkan strategi efektif dan efisien dengan perancangan pembangunan ekonomi mengikut kearifan lokal setiap daerah.
“Dengan itu, segala tumpuan tujahan dana dapat dimanfaatkan secara realistik tidak tidak berlaku pembaziran sumber,” katanya.
artikel asal: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/03/929693/ikhtiar-bn-johor-kunci-kestabilan