Pembentukan kabinet dinanti-nantikan sudah diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Perdana Menteri menyatakan: “Saya mahu memberi khidmat terbaik pada rakyat.” Penyataan tepat dan jelas menggambarkan kesungguhan beliau memastikan ia kabinet yang berfungsi (functional cabinet) dengan nilai objektif tepat, iaitu berkhidmat pada rakyat.
Apa menarik pada pengumuman kabinet adalah ketiadaan Timbalan Perdana Menteri yang cukup sinonim pada setiap pembentukan kabinet yang setelah diamati adalah formula pintar dalam melerai keberadaaan pelbagai parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang masih segar dan baharu. Ternyata ini formula luar biasa dan solusi terbaik yang menjadi kejutan dalam membina persepsi positif bagi memenuhi aspirasi rakyat.
Fungsi menteri kanan akan memastikan semua kabinet berfungsi sepenuhnya dan lebih berfokus. Kewujudan empat menteri kanan ialah persepsi unik kepada pentadbiran Muhyiddin dan membentuk strategi menerajui situasi penting dalam portfolio yang diamanahkan.
Ini akan memastikan urus tadbir eksekutif berjalan lancar khususnya ketika ketiadaan Muhyiddin dalam negara. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya akan diketuai Menteri Kanan.
Pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta mengemudi antara perincian utama perkembangan ekonomi negara serta penasihat kepada Perdana Menteri, akan memberikan lonjakan baharu kepada ekonomi negara.
Tambahan pula pemilihan jawatan Menteri Kewangan daripada latar belakang ekonomi dan perbankan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah pilihan mengimbangi kemelut isu ekonomi yang berpotensi mendatangkan ancaman utama kepada negara dan global.
Ini kerana dalam kerajaan separuh penggal PN, idea dalam membentuk dasar ekonomi untuk mengurangkan ketegangan ekonomi dalam masa terhad amatlah diperlukan. Dua lagi menteri kanan berpengalaman ialah Menteri Pertahanan dan Menteri Kerja Raya diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Memetik kata-kata penuh keyakinan Muhyiddin, jelas menyatakan pemilihan pemimpin pasukan beliau semata-mata berasaskan ijtihad untuk kemaslahatan negara. Beliau dengan secara yakin dan ikhlas merujuk surah al-Qasas ayat ke-26 menggariskan, iaitu sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja itu ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah.
Jelas bersesuaian dengan imej tulus ikhlas dan di luar jangkaan gandingan ditonjolkan amat menarik serta tidak memfokuskan aspek kepartian dan senioriti semata-mata. Pada saat rakyat menanti dan berteka-teki mengenai barisan Kabinet, kebijaksanaan dalam memastikan solusi berasaskan situasi menang-menang amat baik berjaya dilhamkan Perdana Menteri.
Pasukan Muhyiddin tidak mengambil kira formula perlantikan stereotaip. Penterjemahan pemilihan barisan Kabinet beliau jelas berasaskan semangat nasionalisme dan tidak menggunapakai formula berasaskan hierarki dan senioriti.
Kabinet dipilih secara jelas bersih daripada kontroversi atau terpalit sebarang dakwaan perbicaraan kes pecah amanah rasuah dan lain-lain. Golongan berpengalaman, berkemahiran dan mewakili teknokrat serta bijak pandai dibawa ke Kabinet demi rakyat. Menteri memerlukan kepakaran diambil agar kombinasi disempurnakan boleh memberikan keyakinan kepada rakyat.
Pembangunan sosio-ekonomi untuk Sabah dan Sarawak dan berasaskan Perjanjian MA 1963 ternyata memperlihatkan keikhlasan gabungan PN dalam mengiktiraf gabungan parti dari kedua-dua negeri itu. Kementerian dan portfolio khusus juga dibentuk bagi menzahirkan gabungan serta representasi khususnya melalui perlantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak. Pemurnian sebegini akan membawa manfaat mutlak kepada negara.
Antara polemik menggusarkan rakyat Malaysia adalah dalam konteks perpaduan dalam negara. Tugas penting perlu menggariskan rangka kerja gerak saraf dan perang saraf berstruktur serta efektif. Perpaduan ialah tunjang kepada segala aspek kejayaan negara.
Perlantikan Menteri Perpaduan Negara yang juga bekas Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menyuntik elemen penyulaman perpaduan melalui ketelitian pemimpin wanita. Pengalamannya diyakini dan amat diharapkan dalam memastikan keharmonian negara tidak terjejas daripada anasir ancaman dalaman dan luaran.
Babak paling menyejukkan dalam plot Citra Baharu Kabinet, Memenuhi Aspirasi Rakyat diterajui Muhyiddin semestinya aura positif tokoh ilmuwan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri. Perlantikan penuh kejutan tetapi amat tepat pada masanya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama amat disenangi.
Tokoh penting negara ini amat diperlukan dalam situasi membimbing ummah ke landasan lebih produktif dan berkiblatkan al-Quran dan sunnah.
Jelas kombinasi strategik diterjemahkan Perdana Menteri memberikan keyakinan bahawa aspek pembaharuan dalam struktur eksekutif negara akan membawa Malaysia ke hadapan dengan sokongan rakyat. Perwatakan dan ketokohan Perdana Menteri terbukti dan amat disanjungi dalam memilih mereka mempunyai keselarasan kognitif berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.
* Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)