KUALA LUMPUR: Kemelut politik di Melaka perlu diselesaikan dengan kaedah berkepentingan rakyat bukan hanya bagi kepentingan parti politik semata-mata.
Penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata masyarakat jelas tidak setuju dengan sikap ahli politik yang suka memanaskan suhu politik negara dan hilang fokus dalam peranan untuk membentuk kestabilan politik dalam fasa pemulihan pandemik COVID-19.
Katanya, jika pilihan raya perlu diadakan prosedur operasi standard (SOP) terperinci dengan penekanan memastikan pengundi selamat dan ia tidak boleh dikompromi.
“Walaupun pada dasar keadaan bahaya pada keselamatan masyarakat tetapi percaturan serta konflik politik yang sering ditimbulkan oleh ahli politik membuatkan sudah tiba masanya mandat diberi pada rakyat dengan pengawalan terperinci semasa pengundian.
“Jika tidak rakyat akan terus dihimpit dengan kemelut politik peribadi ahli politik yang hilang fokus utama memperjuangkan rakyat,” katanya kepada BH mengulas tindakan Pakatan Harapan (PH) yang tidak setuju Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dengan alasan pandemik COVID-19.
Pada 5 Oktober lalu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam meluluskan pembubaran DUN Melaka atas cadangan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.
Semalam, Pakatan Harapan (PH) dan PKR bertegas untuk tidak mempersetujui Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan susulan pembubaran DUN Melaka.
Noor Nirwandy berkata, PRN kali ini perlu mewajibkan kempen digital oleh parti bertanding dan melalui kenderaan bergerak tanpa dibenarkan bertemu pengundi secara fizikal.
“Inilah masanya parti politik melaksanakan inovasi kempen semasa pandemik dan SPR mempraktikkan perkara baharu sesuai norma baharu,” katanya.
Sementara itu, Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar, berkata pandangan PH mengenai PRN tidak lagi penting kerana DUN sudah pun dibubarkan dan mereka tiada pilihan.
Katanya, mereka mungkin boleh mencabar di mahkamah namun ada kemungkinan tidak boleh menang,” katanya.
Beliau percaya PH akan tetap bertanding nanti dan jika mereka tidak berbuat demikian adalah satu kerugian kepada gabungan parti politik itu.
“Ini peluang terbaik PH menonjolkan diri dalam PRN, yang pastinya kali ini semua akan bertanding sama ada Barisan Nasional atau Perikatan Nasional yang mempunyai peluang bergantung situasi PRN itu nanti,” katanya.
Mengulas mengenai pengisytiharan darurat bagi mengelakkan PRN, katanya beliau kurang setuju kerana tiada alasan yang kukuh untuk dilaksanakan darurat di negeri itu.
Mengenai peluang parti untuk PRN itu, katanya semua parti memiliki peluang yang sama dan kemenangan ditentukan mengenai isu yang akan dimainkan dalam kempen nanti.
“Isu nasional sudah tentu fokus kepada kesihatan dan pemulihan ekonomi, ini sudah tentu memberi kesan kepada PN. Isu tempatan juga menjadi pilihan.
“Namun, ini saya lihat sebagai medan menguji hubung dan kerjasama BN dalam PN sama ada mereka bekerjasama bagi mengelak pertembungan tiga penjuru atau sebaliknya.
“Pertandingan tiga penjuru kelebihan untuk PH kerana undi untuk BN dan PN akan pecah. Ini juga medan ujian BN dan UMNO sama ada mereka boleh bergerak solo atau kerjasama dengan PN,
“Saya melihat BN jika bergerak solo dalam menghadapi PRN ini akan berlaku satu kerugian. Ini akan dijadikan justifikasi BN bagi bergerak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, jika BN menang dengan bergerak solo maka ia perlu diteruskan dan jika sebaliknya BN kena sedar yang mereka masih perlukan parti lain bagi membentuk kerajaan.
Artikel Asal:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/874013/prn-melaka-utamakan-kepentingan-rakyat-bukan-parti